“KAWAN tetap kawan tetapi bila berada di gelanggang, merekalah lawan kami!" kata-kata penolong pengurus pasukan ATM Guardians, Shamsuri Basirun, itu menyangkal sekeras-kerasnya andaian penonton bahawa Penang Panthers seperti tidak mengerah aksi terbaik sehingga rekod tanpa kalahnya lebur, Sabtu lalu.

Justeru, tidak timbul isu bahawa Panthers cuba ‘bersimpati’ dengan juara bertahan, Guardians, yang sebelum itu tertekan dengan empat kekalahan berturut-turut sejak Liga Sepak Takraw (STL) 2016 bermula 30 September lalu.

Jurulatih dan penolong jurulatih Panthers, Helmi Ismail dan Sofix Nadzri, selain tekong simpanan, Mohamad Fazil Mohd. Asri, masih berkhidmat sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Guardians mengecapi dua mata liga sulungnya dengan kemenangan 13-21, 21-15, 21-18 terhadap lawan yang dibarisi regu lengkap negara – tekong Syahir Rosdi, perejam Kamal Ishak dan pengumpan Suhairi Sulaiman.

Namun, ATM yang turut menampilkan tekong dan apit kanan negara, Nazmi Najib dan Afifuddin Razali, sambil diapit Norfaizzul Abd. Razak di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, masih menghuni tangga corot carta mata dalam saingan lapan pasukan STL.

“Alhamdulillah rezeki menyebelahi kami juga tetapi tidak boleh berlapang dada (dengan kedudukan terbawah itu),” ujar Shamsuri yang yakin anak-anak buahnya bakal bangkit lebih bersemangat apabila saingan bersambung bagi minggu keempat, 4 November ini.

Pengurus pasukan Panthers, Jeffary Abd. Malek, turut menyifatkan Guardians pasukan yang lebih baik dalam pertarungan lebih sejam itu. Malah, dia mempertahankan tindakan untuk mengekalkan Kamal sebagai perejam kerana tidak mengalami masalah prestasi.

“Tiada apa-apa kesilapan pada permainannya, lagipun kami mahu berikannya lebih peluang bermain,” katanya biarpun Panthers ketika itu turut memiliki pelibas utama negara ketika ini, Azlan Alias, di bangku simpanan.

Dalam minggu kedua STL ketika menewaskan Kuala Lumpur Thunder 9-21, 21-19, 21-17, Panthers menggantikan Kamal dengan Azlan, malah menurunkan perejam pilihan ketiganya, Danial Baharin, untuk menumpaskan Kedah Eagles 21-14, 24-22.

Melaka Titans pula benar-benar terasa ketiadaan tekong berbisanya, Sahidan Md. Ali, yang membantu menumbangkan Guardians dalam minggu pertama apabila kalah buat kali ketiga berturut-turut sejak 7 Oktober lalu, kali ini kepada Kelantan Warriors, Ahad lalu.

Kemerosotan prestasi melanda Khobil Sapair, tekong keduanya yang dinobat Pemain Terbaik STL Minggu 2, malah percubaan pasukan menggantikannya dengan tekong remaja, Afiq Adnan, bagaikan belum kena masanya sehingga mereka tewas 21-11, 13-21, 12-21.

Prestasi Warriors seperti yoyo minggu lalu dengan kalah kepada Eagles tetapi mujurlah anak-anak buah Rozi Rahman cepat pulih untuk mengutip kemenangan kedua itu, sekali gus menyalakan semula keyakinan dan semangat juang menjelang bulan depan.