Kelantan Warriors mengubah strategi latihan dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan memberi tumpuan khusus kepada kecergasan dan kemahiran pemain menjelang saingan Liga Sepak Takraw (STL), Ogos depan.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, berkata mesyuarat pengurusan pasukan yang diadakan baru-baru ini membuat keputusan supaya setiap jurulatih hanya memberikan tumpuan khusus terhadap pemain di bawah kendaliannya sahaja.

"Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) belum melantik jurulatih rasmi untuk STL tetapi buat masa ini latihan akan dikendalikan oleh jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) negeri, Suhairi Nordin.

"Dia bersama dua orang lagi pembantu akan merancang dan menyediakan latihan personal untuk enam pemain yang telah dipilih untuk menyarung jersi Kelantan.

"Kami memahami bahawa bentuk latihan sebegitu mampu meningkatkan lagi prestasi pemain sebelum dipanggil untuk menyertai latihan pusat," ulasnya.

Ahmad Syazwan juga mengesahkan senarai nama pemain sudah dihantar kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menyertai STL musim ini.

"Ada sedikit kejutan dari segi pemilihan pemain tetapi biarlah diumumkan sendiri Presiden GASTAK, Zuraidin Abdullah nanti.

"Panel pemilihan yakin enam pemain ini mampu menjadikan Warriors antara pencabar terkuat kejuaraan STL musim ini," ulasnya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors menduduki tangga kelima STL dan layak bersaing dalam saingan Piala Juara-Juara musim lalu.

Bagaimanapun, mereka terkandas dalam saingan Kumpulan A yang turut disertai Perak Bison, Negeri Sembilan Antlers, Korea Haechi dan Singapore Lions.

Kredit Foto: STL