Kelantan Warriors tekad bangkit semula hadapi ATM

Oleh Staff Writer 2 Oktober 2016 7
Kelantan Warriors tekad bangkit semula  hadapi ATM

Kecewa dengan kekalahan straight set (2-0) kepada Penang Black Panthers, Kelantan Warriors berjanji untuk bangkit mengutip kemenangan pertama bertemu ATM Guardians dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, petang ini.

Pengurus pasukan Kelantan Warriors,  Mohd Adnan Mat  berharap anak buahnya dapat melupakan kekecewaan dalam perlawanan pertama mereka dan kembali bangit menunjukkan aksi sebenar untuk menghadapi cabaran sengit ATM Guardians. 

 “Terlalu hormatkan lawan dan kurang keyakinan diri menjadi punca kekalahan mudah kami kepada Penang Black Panthers petang semalam.

“Pemain perlu lupakan segera kekalahan tersebut dan wajib bangkit semula pamerkan aksi lebih mantap untuk memburu kemenangan pertama petang ini,”katanya.

Ditanya mengenai rombakan pemain yang bakal dilakukan selepas kekalahan petang semalam, Mohd Adnan tidak menafikannya sebaliknya mahukan setiap pemain Kelantan Warriors yang diturunkan memberikan aksi terbaik demi memburu kemenangan pertama.

“Insya-ALLAH, ada sedikit rombakan pemain yang bakal diturunkan petang ini dan Kelantan Warriors janjikan satu persembahan terbaik apabila bertemu skuad pilihan, ATM Guardians,”katanya.

Dalam perlawanan pertama, Kelantan Warriors menurunkan Khairul Hisyam Md Yusoff (Tekong), Wan Naim Izani (Apit Kanan) dan Mohd Aidil Aiman (Apit Kiri) namun kalah mudah kepada Penang Black Panthers yang diketuai tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi 21-17, 21-13 dalam 45 minit sahaja.

Sementara itu, juara bertahan, ATM Guardians juga bermula dengan langkah kiri apabila kalah mengejut kepada Melaka Titans  2-1 (21-13, 18-21, 18-21) dalam saingan sengit yang berlanjutan sehingga set penentuan.


Tentang Penulis

Staff Writer

Komen