Selepas tewas 0-2 kepada Penang Black Panthers, Kelantan Warriors berazam memburu kedudukan tempat ketiga dengan mengalahkan Manang City Voyagers dalam Piala Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, petang ini.

Kelantan Warriors juga nekad untuk membalas dendam apabila tumpas straight set 0-2 kepada kelab dari Thailand itu dalam perlawanan pembukaan kumpulan B.

Tekong utama Kelantan Warriors, Mohd Hisyam Mat, berkata regunya sudah melupakan kekecewaan tewas kepada Penang Black Panthers dalam separuh akhir, petang semalam, dan berjanji akan bangkit bagi memburu tempat ketiga.

"Kecewa apabila tewas sekali lagi kepada Penang Black Panthers biarpun kami sudah memberikan yang terbaik.

“Satu lagi perlawanan yang sukar menentang wakil dari Thailand, Manang City, tetapi Kelantan Warriors menjanjikan perlawanan sengit untuk memburu tempat ketiga,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan Manang City, Hisyam menjelaskan kekuatan servis yang dimiliki tekong mereka menjadi senjata utama yang mampu melemahkan pihak lawan.

“Kami yakin mampu menangani servis kuda Tekong Manang City dan mengurangkan sebarang kesilapan yang boleh memberikan mata mudah,” katanya.