Kelantan Warriors melaungkan amaran mahu menghentikan episod kekalahan menentang Penang Black Panthers apabila sekali lagi bertemu dalam separuh akhir Piala Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, petang ini.

Biarpun sedar lawan yang dihadapi adalah juara STL musim ini dan mereka sudah tewas dua kali berturut-turut kepada jaguh Pulau Mutiara itu, namun tekong utama Kelantan Warriors, Hisyam Mat, tetap yakin kemampuan regunya mencipta kejutan.

“Ini percubaan ketiga Kelantan Warriors untuk mengalahkan Penang Black Panthers dan prestasi kami berada pada tahap terbaik.

“Biarpun mereka dianggap pilihan layak ke final, Kelantan Warriors menjanjikan satu perlawanan yang sengit,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan skuad Pulau Mutiara yang semakin hebat setelah menyenaraikan apit kiri negara, Farhan Adam, Hisyam menyedari hakikat itu tetapi yakin semangat untuk melakar sejarah mara ke final mengatasi segala-galanya.

“Jika sebelum ini, tekong utama mereka (Syahir Rosdi) menjadi senjata utama, kini kehadiran Farhan menambah kekuatan Penang Black Panthers.

“Cuma, dalam pertandingan sebenar, prestasi pemain akan menentukan menang atau kalah sesebuah pasukan. Kami akan cuba mengurangkan kesilapan mudah dan mahu mencipta sejarah baharu,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors mencipta kejutan mara ke separuh akhir setelah muncul naib juara Kumpulan B manakala Penang Black Panthers menguasai Kumpulan A.