Kelantan Warriors buru langkah kanan

Oleh Farizal Yusoff 5 Oktober 2018 881
Kelantan Warriors buru langkah kanan
Berdasarkan pengalaman dan kualiti pemain yang dimiliki, Kelantan Warriors berazam memulakan aksi sulung menentang pendatang baru, PDRM Defenders, dengan langkah kanan dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang ini.

Kelantan Warriors yang muncul sebagai pemenang tempat keempat STL musim lalu membariskan apit kiri Sukan Asia, Aidil Aiman Azwawi, Wan Naim Izani Wan Mohd Noor, Mohammad Hafizi Maarof, Mohamad Hisyam Mat, Nur Yuslie Md Jusoh, Muhammad Khairul Hisham Md Yusoff dan tekong, Muhammad Farid Abdul Aziz.

Pengurus Kelantan Warriors, Ruzaini Shahril Mohd, berkata regu Pantai Timur ini sudah bersedia sepenuhnya dan mahu memulakan aksi sulung STL dengan langkah kanan menumpaskan PDRM Defenders.

“Kami akan berikan yang terbaik untuk aksi pertama STL menentang PDRM  Defenders biarpun mereka memiliki pemain berpengalaman seperti tekong, Muhammad Syahmi Husin, dan apit kiri, Mohamad Syafiq Ab Rahman.. 

“Kami sedar semua pasukan yang bersaing dalam liga utama mempunyai kekuatan masing-masing. Kami amat menghormati kekuatan lawan tetapi kami tetap mahu mengutip mata penuh,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors yang masih segar dengan kejayaan tempat ketiga dalam Kejohanan Piala Emas Khir Johari (PEKJ), Julai lalu, akan turun berdepan PDRM Defenders, Melaka Titans dan Johor Tigris bagi minggu pertama.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen