Juara bertahan, Kelantan, mengekalkan kejuaraan apabila menumpaskan Pahang 2-1 dalam final berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Murid Orang Asli Peringkat Kebangsaan Kali Ke-10 di Kota Bharu, hari ini.

Kelantan yang membuat sedikit perubahan dalam susunan regu bermula garang apabila regu pertama, Aizad Daniel, Adik Razak dan Heryak Ramlah, beraksi cemerlang untuk mengalahkan regu Pahang A yang menurunkan Shahrizan Ail Norhan, Rody Masni dan Dah Lihan Ban Lia, 2-0 (21-14, 21-16).

Regu Kelantan B yang dibarisi Mohd Khairy Liman, Jo Malek dan Mohd Fitri Haikal, bagaimanapun, gagal mengesahkan kejuaraan lebih awal apabila kalah 18-21, 21-19, 21-4.

Turun dengan sokongan padu penyokong tuan rumah, regu C Kelantan yang dibarisi Hisyam Ibrahim, Jemi Kassim dan Zul Hakimi Rosli menang mudah ke atas regu C Pahang 21-15, 21-8.

Ketua jurulatih Kelantan, Awie Seman, memuji persembahan anak buahnya sambil menyifatkan kejayaan mengekalkan kejuaraan sebagai hadiah yang cukup bermakna.

"Terima kasih juga kepada rakan jurulatih, Mohd Fishah. Syukur kerana pemain dapat beraksi dengan penuh semangat dan berjaya kekalkan kejuaraan di negeri sendiri.

"Kini, tumpuan kami untuk memburu kejuaraan dalam acara regu pula,” katanya.

Terdahulu, Perak berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Keputusan Penuh:

Juara: Kelantan
Naib johan: Pahang
Ketiga: Perak
Keempat: Negeri Sembilan