Selepas mengalahkan Perak 2-1, juara bertahan, Kelantan, terus mempamerkan aksi mantap dengan mengalahkan Johor 3-0 dalam acara berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Ke-10 di Wisma Sukan, Jalan Telipot, Kota Bharu, petang tadi.

Kemenangan kali kedua berturut-turut membolehkan Kelantan menjuarai Kumpulan A dan mara ke separuh akhir untuk bertemu naib juara Kumpulan B, Negeri Sembilan, pagi esok.

Kelantan, yang menurunkan Mohd Khairy Liman, Asnan Ghani dan Nasren Angah, beraksi baik untuk menang 2-0 ke atas regu Johor A 21-13, 21-16 dalam masa 30 minit.

Regu B Kelantan yang diwakili Aizad Daniel, Adik Razak dan Heryak Ramlan pula cemerlang untuk memastikan kedudukan juara Kumpulan A tidak tergugat apabila mudah menumpaskan regu kedua Johor 2-0 (21-12, 21-13).

Kelantan menerusi regu C yang dibarisi Hisyam Ibrahim, Zul Hakimi dan Jemi Kassim tidak menghadapi sebarang masalah mengatasi cabaran regu C, Johor, 21-14, 21-6.

Ketua jurulatih, Awie Seman, memuji persembahan anak buahnya sambil mengingatkan mereka cabaran sebenar bermula di peringkat separuh akhir, pagi esok.

"Syukur dengan kemenangan kedua ke atas Johor. Hajat untuk menjadi juara Kumpulan A telah menjadi kenyataan.

"Esok, kami akan menentang naib johan Kumpulan B, Negeri Sembilan, dan saya harap pemain dapat terus mengekalkan prestasi terbaik,” katanya.

Dalam satu lagi separuh akhir, juara Kumpulan B, Pahang, akan bertemu Perak.

Keputusan lain:

Pahang 3 Selangor 0
Negeri Sembilan 2 Selangor 1
Perak 3 Johor 0