Bekas pemain sepak takraw negara, Suhaimi Yusoff, menyifatkan kempen skuad Malaysia dalam saingan Piala Raja Thai tahun ini sebagai sesuatu yang memalukan setelah gagal mencapai sasaran untuk mara ke perlawanan akhir.

Skuad negara mengalami kekalahan memalukan dalam kempen mereka di Bangkok, Thailand selepas pasukan lelaki bukan sahaja tewas kepada tuan rumah di peringkat separuh akhir acara regu, malah turut mengalami nasib sama dalam acara regu berpasukan susulan kekalahan di tangan Indonesia.

Lebih perit, seteru Asia Tenggara sudah mula menunjukkan gandingan utama masing-masing dalam kejohanan itu tatkala Malaysia turun tanpa kelibat dua tekong utama yang telah digugurkan, Zulkifli Abd Razak dan Mohd Syahir Rosdi.

"Senang cerita, Thailand tidak melihat kepada pemain tetapi jurulatih. Mereka tersenyum melihat jurulatih Malaysia, jadi kekalahan ini sudah diduga kerana dengan berlakunya kontroversi melibatkan dua tekong utama, kemudian dengan bongkak memberitahu memiliki empat lagi pemain lebih bagus. Lihatlah keputusan, Malaysia tewas dengan Indonesia," katanya.

Suhaimi yang merupakan tonggak skuad yang meraih pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 melihat ia petanda buruk buat kem negara menjelang Sukan SEA Filipina 2019 yang berbaki kurang tiga bulan sahaja lagi.

Jika dalam tempoh itu tiada sebarang perubahan dilakukan, dia khuatir bayangan untuk mempertahankan emas bagi acara regu yang dimenangi di Kuala Lumpur dua tahun lalu sukar dilaksanakan.

"Sekarang bergantung kepada tekong, termasuk Thailand. Kalau servis mereka gagal disempurnakan, mereka akan membawa keluar tekong. Itu yang jadi masalah buat Malaysia."