Kedah Eagles sambar wilayah Tigris

Oleh Staff Writer 16 Oktober 2016 33
Kedah Eagles sambar wilayah Tigris

Kedah Eagles melonjak ke tangga ketiga kedudukan mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016, malah kian menggugat Penang Panthers sebagai penghuni tempat kedua apabila menumpaskan Johor Tigris 18-21, 21-19, 21-19 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya.

Regu bimbingan Shamshul Samsudin yang membariskan tekong Nazirul Akram Razali (Asrah Adenan), perejam Shahrol Nizam Romli dan pengumpan Zuleffendi Sumari ini memerlukan sejam 20 minit untuk menghampakan lawan yang turut berhajat besar merapati Panthers.

Tigris seolah-olah membayar dengan harga yang mahal lalu terlepas dua mata liga kerana memberikan penampilan sulung STL kepada apit kiri remaja, Lutfil Azmi, untuk digandingkan dengan tekong dan apit kanan utama, Haidzir Rashid dan Norhafizi Razak.

Jelas persefahaman dan penyesuaian diri daripada segi lontaran bola buat tekong dan umpanan kepada perejam, mempengaruhi rentak regu Jamaluddin Hassan ini walaupun semangat kental mereka dalam set penentuan nyaris mengirim Eagles berputih mata.

“Saifulrudin Khalid tercedera ketika perlawanan minggu kedua lalu (menentang Melaka Titans dan ATM Guardians) dan kami tidak mahu mengambil risiko. Lutfil mungkin terasa gemuruh dalam aksi sulungnya ini tetapi tetap mampu bermain sehingga set penentuan.

“Jika kami berjaya membawa ke mata dius dalam set penentuan, ceritanya mungkin berbeza,” kata Jamaluddin yang memuji kemampuan apit kanan Eagles, Shahrol, yang menunaikan tugasnya dengan berkesan dalam rejaman dan hadangan.

Kata Shamshul, “Pemain terikut-ikut rentak lawan ketika mendahului 18-11 dalam set kedua yang sepatutnya boleh dihabiskan lebih awal. Servis Asrah turut banyak membantu menambah mata kami, namun keserasian lontaran bola apit kanan menyebabkan Nazirul gagal mengekalkan posisinya.”

Kelantan Warriors pula mengecewakan Melaka Titans 11-21, 21-13, 21-12 untuk mengutip kemenangan ketiganya, sekali gus memulihkan semangatnya yang menurun akibat dibenam Kedah Eagles dalam set penentuan, Jumaat lalu 

Memanfaatkan kemerosotan prestasi tekong Titans, Khobil Sapair, Warriors yang menurunkan Khairul Hisham Yusoff, Wan Naim Izani Noor (Aiman Fouzi) dan Aidil Aiman Azwawi jelas berkeyakinan tinggi, terutama dalam set kedua dan ketiga.

Titans yang cuba menukar Khobil dengan tekong remaja, Afiq Adnan, mahupun menggantikan pelibas, Azwan Yahya dengan Amirul Asyraf Idris, pula semakin tertekan dalam set kedua dengan permainan yang serba hambar dan tumpul.

Tidak begitu dicabar, Warriors mara untuk menguasai set penentuan, 7-4, 10-5, 14-7, 16-8 dan 18-9, sekali gus meluputkan sisa-sisa perjuangan regu bimbingan bekas tekong kidal negara, Ahmad Ezzat Mohd. Zaki.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen