Perejam negara, Muhammad Kamal Ishak, kesal dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang dianggap bersikap lepas tangan terhadap keadaannya selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya pada awal tahun ini.

Kamal antara perejam negara yang membantu Malaysia untuk meraih pingat perak acara regu berpasukan dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Dia terlibat dengan kemalangan kereta yang menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan belakang, Februari lalu.

Atlet berusia 26 tahun itu, bagaimanapun, berterima kasih kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang banyak membantu menjana dana sepanjang kos rawatannya di hospital.

Sehingga kini, dia hanya menerima dana menerusi PSM berjumlah RM3,000 sepanjang tiga bulan pertama selepas ditimpa kemalangan walaupun dijanjikan dana bulanan sebanyak RM1,000 bagi membantunya membiayai kos rawatan susulan.

"Bantuan memang tiada.

"Rawatan saya sebelum ini (berharga) RM5,000 sebulan, lagipun saya tiada sumber pendapatan bulanan.

"Sebelum ini, saya mengharapkan elaun atlet.

"Apabila jadi macam sekarang ini, (aktiviti sebagai) atlet sudah tidak boleh buat apa-apa.

"Tetapi sampai bilakah saya mahu berterusan begini?

"Saya pernah pegang lencana Malaysia, saya bukan main (untuk pertandingan bertaraf) kampung.

"Ketika ini (nasib) saya memang terbiar," katanya.

Begitupun, Kamal kini menunjukkan perkembangan positif ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Sukan Atlet IPT 2019 di Putrajaya, malam tadi, yang menyaksikan dia menerima bantuan kewangan sejumlah RM3,000.

Sebelum ini, dia hanya terlantar di rumahnya namun kini berupaya untuk duduk di kerusi roda yang dipinjamnya.

"Sudah diberi peluang untuk hidup, saya perlu teruskan usaha.

"Lagipun, saya ada anak bini, tidak akanlah saya nak biarkan sahaja.

"Saya perlu kuat buat mereka.

"Walaupun tiada pihak yang membantu, saya tahu akan ada rezeki daripada Allah."