“Dari segi pemain, Kuala Lumpur Thunder mempunyai kelebihan tetapi saya berharap Johor Tigris bakal turun ke gelanggang dengan tekad untuk beraksi dengan lebih baik, memungut mata penuh dan membaiki carta Liga Sepak Takraw (STL).

“Minggu lepas, kami sekadar mengutip dua mata apabila menang dengan Kelantan Warriors tetapi kalah mudah dengan Penang Black Panthers.

"Kali ini, kami lebih bersedia untuk bertemu Kuala Lumpur dan prestasi pemain dalam gelanggang akan menentukan segalanya,” kata jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan terkini Johor Tigris bertemu Kuala Lumpur Thunder dalam saingan minggu kelima Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, petang ini.

Jamaluddin, yang juga bekas jurulatih kebangsaan, berkata Johor Tigris akan menurunkan semula tekong berpengalaman, Haidzir Rashid, selepas terpaksa diketepikan minggu lalu kerana mempunyai komitmen keluarga di Muar.

“Tekong terbaik kami, Haidzir, akan beraksi semula petang ini dan bergandingan bersama apit kanan, Nor Hafizi Abdul Razak.

“Cuma, saya masih memantau prestasi apit kiri, Saifulruddin Khalid, yang masih dibelenggu kecederaan lama. Mungkin Lutfil Hadi akan diturunkan,” katanya.

Dalam saingan minggu kelima malam tadi, Kuala Lumpur Thunder beraksi cemerlang untuk menumpaskan ATM Guardians 2-0 (21-19, 21-16) dan berjaya menduduki tangga keempat dalam STL.

Johor Tigris pula cuba untuk memulakan saingan minggu kelima dengan langkah kanan untuk memburu kemenangan keempat liga dengan mengatasi Kuala Lumpur Thunder .