“Kami perlu menang malam ini untuk terus berada dalam zon selamat dan kekal bersaing dalam Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) musim hadapan.

“Bertemu Kedah Eagles -- yang juga memerlukan kemenangan -- bukanlah satu tugas mudah kerana mereka juga mempunyai pemain muda yang berbakat.

"Cuma, kejayaan mengalahkan pasukan pilihan, Kuala Lumpur Thunder minggu lepas boleh menjadi motivasi terbaik kepada pemain untuk berjuang mendapatkan mata,” kata jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan menarik di antara skuad bimbingannya, Johor Tigris, menentang Kedah Eagles dalam saingan minggu kesembilan Liga Sepak Takraw (STL), di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, malam ini.

Jamaluddin, yang juga bekas jurulatih kebangsaan, mengesahkan tekong utamanya, Haidzir Rashid, akan diturunkan untuk bergandingan bersama apit kiri, Lutfil Azmi dan perejam utama, Norhafizi Abdul Razak.

“Insya-Allah, Johor Tigris akan menurunkan tekong utama Haidzir (yang tidak beraksi minggu lepas) untuk bergandingan bersama Norhafizi Abdul Razak dan apit kiri Kebangsaan, Lutfil Azmi.

“Harap dengan kepulangan semula Haidzir ke dalam pasukan dapat memberi kelebihan kepada kami untuk mendapatkan mata melalui servis pertama."

Jika Johor Tigris berjaya memungut mata penuh malam ini, mereka mengharapkan Melaka Titans membuat kejutan mengalahkan pencabar terdekat, Kelantan Warriors, bagi membolehkan skuad Wilayah Selatan itu selesa untuk mengintai kelompok enam pasukan terbaik STL musim ini.