Johor Tigris menutup tirai saingan Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Perdana dengan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan Warriors di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Johor meletakkan sasaran untuk merekodkan kemenangan selepas mengatasi pasukan pilihan, KL Thunder 2-1 dalam aksi yang berlangsung semalam.

Mendahului set pertama dengan cemerlang, menerusi beberapa mata yang dipungut oleh tekong, Najmi Syahfiq Anuar serta perejam, Nur Haziq Norali -- turut tidak ketinggalan Kelantan hingga membawa perlawanan ke mata deuce.

Saling mengutip mata, Johor mengekalkan rentak sebelum menang 24-22.

Situasi berbeza dalam set kedua, Kelantan memperkemaskan gerakan serta kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Johor memberikan Kelantan menang 21-10 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Perubahan taktikal dengan membawa masuk khidmat Muqlis Borhan dan Faisal Fuad ternyata cukup membantu Johor bagi memastikan kemenangan 21-10.

Keputusan lain:

NS ANTLERS 2 PENANG BLACK PANTHER 1