Jangan sekat peluang mereka beraksi

Oleh Ammar Hakim 30 November 2016 19
Jangan sekat peluang mereka beraksi

"Jangan sekat peluang mereka untuk beraksi." Pandangan itu disuarakan dua bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Najib Iman dan Mohd Saiful Nizam, berhubung nasib enam pemain yang masih dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL).

Sebelum ini, enam pemain berkenaan yang juga pemain kebangsaan berdepan sekatan beraksi dalam STL oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Ia berikutan kegagalan mereka untuk menghadiri ujian doping seperti yang ditetapkan dalam Kejohanan Piala Raja Thai, bulan lalu.

Namun, hasil perbincangan ISTAF bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), menyaksikan enam pemain itu diberikan kelonggaran untuk beraksi dalam saingan STL sehingga Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) memuktamadkan kes mereka.

"Lebih baik jika pemain tersebut mendapat peluang untuk beraksi. Bagi saya, tiada isu untuk menyekat mereka daripada beraksi dalam STL kerana ia kejohanan di dalam negara kita.

"Pemain perlu terus beraksi kerana ia boleh menjadi sebagai persediaan bagi mewakili negara dan juga Sukan SEA," kata Najib.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Saiful Nizam yang berasakan tidak adil untuk menyekat peluang pemain-pemain ini beraksi dalam STL kerana belum ada sebarang hukuman dijatuhkan ke atas mereka.

"Ia merupakan keputusan yang terbaik kerana pemain yang mungkin akan digantung merupakan pemain yang terbaik, cuma ia ibarat menutup pintu rezeki mereka.

"Ada sesetengah negeri, pemain mereka merupakan pemain kebangsaan, dan ada negeri yang hanya mempunyai seorang atau dua pemain kebangsaan," tambah Saiful.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen