Masalah kabus tebal di Lucknow, India menyaksikan jadual perlawanan Piala Dunia Remaja 2016 terpaksa dirombak, termasuk membabitkan Malaysia.

Namun, jurulatih skuad Pembangunan Hoki Remaja, Wallace Tan, tidak mengambil kisah berbekalkan perkembangan positif pasukannya dan menganggap perubahan waktu perlawanan yang dianjakkan dua jam lebih awal itu tidak menjejaskan kem negara.

Penganjur terpaksa merombak jadual hari kedua ekoran kabus tebal yang menghalang jarak penglihatan pemain, khususnya pada sebelah pagi dan malam.

Sehubungan itu, Malaysia akan memulakan aksi pada jam 6 petang waktu tempatan.

Bagi kem negara, masalah itu tidak menjejaskan tumpuan selepas mendapat suntikan semangat menerusi kemenangan 1-0 ke atas Kanada dalam aksi persahabatan di venue kejohanan, Stadium Hoki Major Dhyan Chand.

Ia satu-satunya aksi pemanas badan sebelum pasukan remaja negara turun menentang Belanda, esok.

Kredit wajar diberikan kepada Nik Mohamad Aiman Nik Rozemi yang meledak gol tunggal perlawanan ketika menewaskan Kanada.

Penyerang Tenaga Nasional Berhad itu dijangka memainkan tugas penting untuk memburu gol padang dan mendapatkan pukulan sudut penalti ketika menentang Belanda.