Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, sedia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu doping membabitkan skuad sepak takraw negara selepas mendapat maklum balas positif daripada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Usaha beberapa pegawai Malaysia nampaknya berjaya melembutkan ISTAF.

Badan induk itu sedia berbincang dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selepas enam pemain dan tiga pegawai didakwa melarikan diri daripada ujian doping ketika berlangsungnya Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu.

Ia membuktikan masih ada ruang menyelamatkan mereka yang terbabit daripada dijatuhkan hukuman penggantungan empat tahun.

"Yang paling penting dalam perkara ini adalah usaha Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail. Beliau telah menghubungi saya dan mengadakan perjumpaan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membincangkan perkara ini.

"Pada saya, dengan kepimpinan beliau, isu ini akan diselesaikan," jelas Beng Choo.

Ahmad sudah berangkat ke Bangkok bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden ISTAF, Charouck Arirachakaran.

PSM mempunyai tempoh hingga 6 Disember depan untuk membalas surat pertuduhan ISTAF.

Jika isu ini dapat diselesaikan dengan baik, ia akan menjadi langkah penting menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Dalam sebarang isu yang berlaku, kebiasaannya ia akan melibatkan dua pihak.

"Jadi, kalau presiden PSM dan ISTAF duduk berbincang, perkara ini sudah pasti akan bertemu penyelesaian," tambahnya.