Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader, positif sukan sepak takraw dapat diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam tempoh dua tahun ini.

Setakat ini, hanya 30 negara berada dalam saingan kompetitif sukan sepak takraw anjuran Istaf dan masih memerlukan 20 negara lagi untuk memastikan acara ini diikftiraf IOC.

Bagi Abdul Halim, ISTAF dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sedang dalam usaha mengetengahkan lagi sukan ini di persada antarabangsa sebelum bermulanya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya telah mengadakan perjumpaan sebanyak tiga kali dengan rakan-rakan di IOC dalam temoh 18 bulan yang lalu.

"Sepak takraw merupakan antara satu-satunya daripada 23 sukan yang diundang untuk membuat permohonan mendapatkan status selaku sukan bertaraf dunia," katanya.

Selain usaha ke arah itu, Abdul Halim memuji persiapan skuad negara menghadapi Sukan SEA 2017 dan berharap PSM terus mendapat sokongan dari semua pihak agar perancangannya berjalan lancar.

"Sekarang tiba masa saya memberikan sokongan kepada Datuk Ahmad Ismail untuk menentukan apa yang dirancang dan akan dilaksanakan bagi Sukan SEA 2017 menjadi satu-satunya kejohanan yang terbaik."