Bekas jurulatih dan pemain sepak takraw negara menyarankan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) mengambil serius isu pengadilan bagi mengelak insiden tidak puas hati seperti protes Malaysia dalam Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok bulan lalu daripada berulang.

Bekas pemain sepak takraw negara, Hafizie Manap, berkata dia sudah lali dengan isu sebegini ketika menjadi pemain.

Katanya, Thailand sering dilihat melakukan provokasi ketika bertemu Malaysia, ditambah pula Istaf seakan-akan mengambil mudah isu pengadilan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain dan pegawai negara.

"Ini adalah satu pengajaran buat Istaf supaya mereka menitikberatkan sistem pengadilan. Pernah berlaku ketika saya bersama skuad di Thailand, kami mengalami masalah yang sama, bukan sekarang sahaja," katanya.

Sementara itu, bekas jurulatih, Haris Abdul Rahman, berkata Istaf perlu bersikap rasional dalam menjatuhkan hukuman.

Sekiranya Malaysia digantung, ia bakal memberi kesan terhadap penyertaan negara dalam saingan Sukan Sea tahun hadapan, apatah lagi Malaysia bakal menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu.

"Saya fikir Istaf kena bijak untuk membuat sesuatu keputusan. Kalau Istaf membuat keputusan yang seumpama itu, bermakna saya fikir berapa sahaja negara lagi yang tinggal?" katanya.

Ketika perlawanan akhir Piala Raja Thai, beberapa keputusan meragukan dibuat oleh pengadil dari Vietnam dan ia seakan-akan memihak kepada Thailand.

Tidak dinafikan perseteruan di antara Malaysia dan Thailand semakin memuncak kebelakangan ini, dengan kebangkitan meyakinkan skuad negara mampu menggugat skuad Gajah Putih itu.

Paling ketara dalam saingan Sukan Sea apabila Malaysia mencalar ego Thailand dengan menafikan impian mereka untuk mengulangi pencapaian enam pingat emas dalam Sukan Sea 2015 di Singapura.

Rekod sepak takraw dalam Sukan Sea:

2015: Sukan Sea Singapura
Malaysia : 1 emas, 2 perak, 2 gangsa
Thailand : 5 emas, 1 perak.

2013: Sukan Sea Nay Pyi Taw
Malaysia : 1 perak, 2 gangsa
Thailand : 6 emas

2011: Sukan Sea Palembang
Malaysia : 2 gangsa
Thailand : 4 emas