ISTAF bertegas, larang sembilan individu sertai STL

Oleh Staff Writer 25 November 2016 14
ISTAF bertegas, larang sembilan individu sertai STL

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sedia memberi kerjasama kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dalam menyelesaikan isu doping pemain dan pegawai negara yang terlibat dengan Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu.

PSM diberi tempoh selama 14 hari untuk menjawab segala pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak ISTAF bermula 23 November.

Bagaimanapun, PSM bertegas menyatakan bahawa kesemua sembilan individu yang terlibat dalam tuduhan ini tidak diberikan maklumat untuk menjalani ujian doping ketika kejohanan berlangsung.

Namun, PSM tetap bersikap profesional dan akan membantu pemain dan pegawai terlibat untuk menjernihkan keadaan.

Pada masa sama, PSM  juga mengesahkan pemain yang terlibat masih boleh bertanding dalam Liga Sepak Takraw (STL) walaupun sebelum ini ISTAF mengeluarkan kenyataan mereka tidak dibenarkan terbabit dalam mana-mana kejohanan atau aktiviti berkaitan sepak takraw.

Dalam perkembangan sama, ISTAF menegaskan keputusannya tidak membenarkan sembilan individu terbabit menyertai kejohanan di dalam dan luar negara.

Ini kerana mereka sedang menjalani penggantungan dan siasatan sedang dijalankan.

"Kesemua mereka tidak dibenarkan menyertai pertandingan di dalam dan luar negara, bahkan juga segala aktiviti melibatkan sukan sepak takraw," tegas Setiausaha ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Halim berkata, hukuman lebih berat akan dikenakan jika mereka melanggar peraturan ini.

Ia termasuk menggantung PSM atau ISTAF boleh menarik balik pengiktirafan terhadap kejohanan yang disertai pemain dan jurulatih terbabit.

"Jangan menyusahkan pemain-pemain ini dengan lebih berat kerana ini semua akan diambil kira oleh ISTAF."

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, menegaskan acara sepak takraw akan tetap diteruskan dalam temasya tahun depan walaupun dicemari kes doping skuad Malaysia.

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan penggantungan enam pemain dan tiga pegawai Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selepas gagal menjalani ujian doping dalam kejohanan dunia Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu.

Jika didapati bersalah, mereka berdepan penggantungan empat tahun. 

"Kita ingin mengelolakan temasya sukan yang bersih daripada sebarang penyalahgunaan bahan terlarang," jelas Zolkples.

"Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, juga selalu menekankan kepentingan aspek ini dan sudah tentu ADAMAS telah merancang segala tindakan yang perlu untuk memastikan perkara ini diberikan perhatian sepenuhnya."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen