Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader, mengesahkan surat pertuduhan isu boikot aksi perlawanan akhir Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand 2016 telah dihantar kepada tiga pegawai terlibat, manakala sembilan pemain lain bakal menerima tuduhan sama, minggu depan.

Pihak ISTAF telah meneliti insiden yang berlaku pada Oktober lalu, sebelum menghantar surat pertuduhan kepada tiga pegawai yang bertanggungjawab mengarahkan pemain supaya menarik diri dalam final acara berpasukan.

Justeru, hukuman penggantungan serta denda akan dikenakan kepada skuad negara dalam masa terdekat.

Risiko turut menanti pemain jika digantung menyertai kejohanan dalam jangka masa yang lama sehingga menjejaskan penyertaan di Sukan SEA 2017.

Namun, tiga pemain yang telah beraksi bagi regu pertama di final Piala Raja Thai, Oktober lalu terlepas daripada hukuman dan hanya pemain acara berpasukan bakal menerima surat pertuduhan sama minggu depan.

"Pengakuan yang telah dibuat oleh ketua jurulatih Malaysia, Abdul Talib Ahmad, kepada media di Malaysia bahawa beliau bertanggungjawab untuk tidak mahu meneruskan pertandingan melibatkan regu kedua dan ketiga memudahkan penyiasatan kami kerana beliau telah membuat pengakuan itu semasa di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," kata Abdul Halim.