Tekong terbaik Liga Sepak Takraw (STL) 2016, Mohammad Syahir Rosdi, menganggap kejuaraan yang dimenangi Penang Black Panthers musim ini merupakan titik permulaan untuknya beraksi lebih hebat di pentas Sukan SEA 2017.

Syahir mempamerkan aksi cemerlang dalam membantu Black Panthers, yang turut dibarisi Azlan Alias dan Zaim Razali, untuk meraih kejuaraan menewaskan Kuala Lumpur Thunder 2-0 dalam perlawanan akhir kategori Perdana STL 2016, malam tadi.

Pencapaian itu cukup bermakna buat Syahir selepas Black Panthers hanya mampu membayangi Terengganu Turtles pada fasa pertama STL, sebelum mula bangkit pada fasa kedua sehingga mara ke pentas final.

"Perlawanan hari ini (malam tadi) sangat sengit, dengan apa yang kedua-dua pasukan tunjukkan. Kami hanya melakukan yang terbaik untuk pasukan kami.

"Terima kasih kepada penyokong Pulau Pinang. Inilah hasil pasukan Pulau Pinang buat tahun ini," kata Syahir.

Selepas mengharungi pentas STL musim ini dengan kejayaan, Syahir akan kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Januari depan dalam memastikan emas Sukan SEA dalam genggaman.

Sedar dengan isu yang melanda skuad negara atas insiden memboikot aksi final Piala Raja Thai, Oktober lalu, Syahir enggan memikirkan hukuman yang bakal diterima.

"Isu itu saya tidak ambil berat pun sebab saya tahu saya tidak bersalah. Kami hanya fokus untuk permainan," tambahnya.