Kemenangan sulung ke atas pasukan pilihan, Penang Black Panthers, selepas lima perlawanan, memberi tonik buat juara bertahan, ATM Guardians, dalam usaha untuk mereka keluar dari tangga tercorot Liga Sepak Takraw (STL).

Kemenangan 2-1 yang dicatatkan ke atas Black Panthers, Sabtu lalu, nyata tepat pada masanya selepas tewas dalam empat perlawanan awal.

Diketuai tekong kebangsaan, Syahir Rosdi, ATM Guardians akhirnya menunjukkan mereka masih memiliki taring sebagai juara.

Menurut pemain ATM, Mohamad Hasman Che Hamid, mereka meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas STL.

"Alhamdullillah, hari itu menang dengan Black Panthers, jadi ia mungkin memberi semangat kepada kawan-kawan untuk perlawanan selepas ini.

"Sasaran ATM setakat ini adalah untuk berada di kelompok empat terbaik. Kami akan berlatih lagi untuk perlawanan selepas ini," katanya.

Sementara itu, pemain Kedah Eagles, Zuleffendi Sumari, melihat status underdog yang diberikan kepada pasukannya bukan satu halangan.

Katanya, tiga kemenangan daripada lima perlawanan meletakkan Kedah kini berhajat tinggi untuk mencabar kedudukan Terengganu Turtles di tangga teratas STL.

"Kami akan cuba buat yang terbaik. Kedah adalah pasukan bukan pilihan, jadi tidak banyak sangat tekanan untuk pemain-pemain Kedah," katanya.

Terengganu terus menerajui STL selepas lima perlawanan dengan 10 mata, diikuti Pulau Pinang dan Kedah, yang terikat enam mata.

Melaka Titans dan Kuala Lumpur Thunder pula berada di kelompok bawahan liga.

Saksikan pertemuan di antara Melaka Titans dan Kedah Eagles secara langsung pada 4 November ini, jam 8 malam manakala pertemuan Johor Tigris dan Kelantan Warriors pula pada jam 9.30 malam.

Kedua-dua aksi itu akan disiarkan menerusi Astro Arena, saluran 801 dan 802 HD.