Pemain sepak takraw negara, Hanafiah Dollah, mempunyai tempoh singkat memikat jurulatihnya, Abdul Talib Ahmad, untuk disenaraikan dalam skuad Sukan SEA selepas baru pulih daripada kecederaan lutut kiri.

Hanafiah baru sahaja kembali pada April lalu selepas pulih daripada kecederaan yang dialaminya sejak setahun lalu.

Dalam tempoh itu, pemain apit kanan itu banyak terlepas latihan dan perlawanan penting bersama skuad negara.

"Saya pulih sepenuhnya pada April lalu dan kini saya mula berlatih dengan pasukan. Sekarang ini saya tengah mencari-cari permainan saya," katanya.

Hanafiah adalah antara tonggak yang membarisi skuad negara menamatkan penantian emas 10 tahun dalam acara antara regu lelaki dalam Sukan Sea Singapura 2015.

Kini semua bergantung kepada jurulatihnya untuk membuat keputusan dan jelas ia bakal diumumkan selepas mesyuarat bersama Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) di Bangkok semalam.

"Kami masih terbuka dalam pemilihan skuad negara. Info yang saya terima daripada pihak persatuan, kalau tak salah, kesemuanya 21 pemain diperlukan," kata Talib.

Malaysia memiliki rekod terbaik pada edisi 2015 di Singapura dengan pungutan 1 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa.