Penganjur Liga Sepak Takraw (STL) 2016, Asia Sports Ventures (ASV), dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersetuju menambah RM1,100 lagi kepada jumlah hadiah wang tunai bagi kedua-dua anugerah Regu Bintang STL dan Pemain Paling Bernilai (MPV), menjadikan jumlahnya RM6,000.

Hadiah selain piala khas buat MVP STL yang sebelum ini dijanjikan RM1,000, dinaikkan kepada RM1,500 manakala setiap pemain pasukan pemenang Regu Bintang STL dalam skim baharu ini, akan mendapat RM1,000 berbanding RM800 pada mulanya.

Pasukan kedua Regu Bintang STL kekal dengan RM500 buat setiap pemain anugerah ini yang meliputi posisi tekong, apit kanan atau perejam dan apit kiri atau pengumpan.

Setiap calon anggota Regu Bintang akan dipilih secara undian peminat di seluruh negara menerusi laman sosial rasmi Facebook, SepakTakrawLeague.

Pasukan pemenang dan tempat kedua anugerah ini akan mendapat piala dengan penentuannya menerusi undian terbanyak bagi setiap pemain, namun jika berlaku kedudukan terikat, sebuah panel khas STL akan memutuskannya.

Panel khas STL ini diketuai Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, selain dianggotai timbalannya, Datuk Akramuddin Aziz, pengarah kejohanan, Tengku Adnan Tengku Burhanudin, ketua pengadil PSM, Fadzil Hashim, dan Pengurus Kanan Jualan dan Penajaan ASV, Ahmad Fariq Ahmad Azlan.

Penyenaraian 16 calon pemain MVP STL (dua pemain setiap pasukan Divisyen Perdana) dilakukan oleh panel khas ini manakala undian keputusannya oleh seorang jurulatih dan seorang pengurus setiap pasukan (16 undi) tetapi mestilah bukan daripada kalangan pemain sendiri.

Calon MVP dengan jumlah undian tertinggi, akan dinobatkan sebagai pemenang. Namun jika kedudukan terikat bagi lebih daripada seorang, panel khas STL dan kesemua jurulatih serta pengurus akan menjadi penentu muktamad (21 undi).