Guardians tetap percaya tenaga tempatan

Oleh Farizal Yusoff 7 Mei 2020 41
Guardians tetap percaya tenaga tempatan
Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, mengesahkan skuadnya tidak akan menggunakan pemain import sebaliknya yakin tenaga tempatan mampu hasilkan keputusan positif dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

"Biarpun dibenarkan (menggunakan pemain import), namun kami buat keputusan untuk mengekalkan trio yang diketuai tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir sambil dibantu Norfaizzul Abdul Razak dan Afifuddin Razali.

"Kami masih percaya dengan kemampuan mereka dan harap tidak mengulangi kesilapan 'lambat panas' pada aksi musim lepas yang menyaksikan Guardians berputih mata kepada Perak Bison.

"Kejayaan menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Antara Regu di Kuala Terengganu, Januari lepas juga memberikan lebih motivasi kepada pemain untuk meningkatkan prestasi dalam saingan STL nanti," ujarnya.

Mengulas penghijrahan apit kanan negara, Azlan Alias dari Penang Black Panthers ke Kuala Lumpur Thunder, Aswadi yang juga jurulatih terbaik STL dua musim berturut-turut, percaya keputusan itu bakal menjadikan skuad warga kota sebagai pilihan utama menjuarai STL musim ini.

"Dia (Azlan) dijangka bergabung dengan bekas tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dan apit kiri, Amirul Zazwan Amir.

"Sudah pasti jadikan KL Thunder sebagai pencabar kejuaraan dan kami perlu berhati-hati," tambahnya.

Kredit Foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen