Memiliki tekong penambah mata, perejam dan penghadang ampuh serta pengumpan kreatif sudah pasti memberikan Terengganu Turtles kelebihan besar berbanding tujuh pencabarnya untuk menerajui carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016 selepas saingan minggu ketiga.

Irsyad Faiz Aziz dan Zulkifli Razak tampak seimbang selaku tekong dan hanya Izurin Refin yang berjauhan di kem skuad negara, kurang menyengat sementara perejam Fadzli Roslan terus berprestasi terbaik dan konsisten yang menyulitkan Kamal Alfiza Shafie mencelah dari bangku simpanan.

Dengan kemantapan percaturan mahupun pertahanan, Azwan Muhrim atau lebih dikenali sebagai Der, memang cukup sukar bagi Safarudin Abu Bakar mengambil alih posisi apit kiri Turtles yang hanya melepaskan satu set kepada Melaka Titans dalam minggu kedua STL.

Sepuluh mata daripada lima perlawanan tanpa kalah menggambarkan ‘cangkerang’ Turtles terlalu kebal setakat ini untuk ditembusi lawan seperti Johor Tigris, Kedah Eagles, Titans, ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder sejak STL bermula 30 September lalu.

“Belum boleh selesa. Kedah tampil dengan apit kanan baharu (Faris Salleh dan Fadzil Baharuddin) dan yang cedera, sudah kembali (Shahrol Nizam Romli). Johor pun tidak boleh dipandang ringan (dikalahkan tipis oleh Eagles 21-18, 19-21, 19-21, kelmarin).

“Cuma apa yang diterap Vitthaya (bagi minggu ketiga lalu), menyerlahkan kemampuan Sobey (Zulkifli) walaupun kecergasannya didapati belum cukup untuk diturunkan dalam minggu pertama dan kedua STL,” kata pengurus pasukan Turtles, Shafei Sulong.

Rekod tanpa kalah dan tanpa menang lebur di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor. Juga pasukan pilihan, Penang Panthers, tersembam dibedil ATM 21-13, 15-21, 18-21 – kekalahan pertama dalam perlawanan keempatnya, sekali gus kemenangan sulung yang melegakan tekanan lawan yang juga juara bertahan.

Mengejut juga kerana Panthers memiliki regu lengkap pemain negara – Syahir Rosdi, Kamal Ishak dan Suhairi Sulaiman selain simpanan, Azlan Alias dan menentang Guardians yang tertekan tanpa sebarang mata liga dan telah kalah empat kali berturut-turut, namun turut diperkuatkan tekong dan perejam Malaysia, Nazmi Najib dan Afifuddin Razali.

“Alhamdulillah rezeki menyebelahi kami juga tetapi tidak boleh berlapang dada. Servis ‘drop’ tekong kami, Nazmi, banyak menjadi. Walaupun ada jurulatih dan pemain Panthers daripada kalangan anggota ATM, di gelanggang mereka tetap lawan kami,” kata penolong pengurus Guardians, Samsuri Basirun.

“Permainan seimbang dan persediaan kami cukup, cuma ATM yang lebih baik dan saya tidak nampak sebarang kesilapan kerana mengekalkan apit kanan, Kamal, sepanjang perlawanan itu tanpa cuba menggantikannya dengan Azlan,” kata pengurus pasukan Panthers, Jeffary Abd. Malek.

Titans benar-benar terasa ketiadaan tekong berbisanya, Sahidan Md. Ali, yang menumbangkan Guardians dalam minggu pertama apabila kalah buat kali ketiga berturut-turut sejak 7 Oktober lalu, kepada Tigris, Turtles dan Kelantan Warriors (semalam), apatah lagi dengan merosotnya prestasi Khobil Sapair dan kurangnya persediaan Afiq Adnan, 18, untuk mengambil alih posisi itu sebagai pilihan ketiga.

Dengan membenam Warriors dan Tigris 2-1, Eagles jelas pasukan paling meningkat minggu lalu, terutama dengan kehadiran Shahrol si pelibas gulung dan menyerlahnya tekong kedua, Asrah Adenan, sambil dibantu ketangkasan pengumpan, ‘Pak Long’ Zuleffendi Sumari.