Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menarik diri daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Presiden Gastak, Zuraidin Abdullah, mengakui keputusan itu diambil susulan tindakan Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menggantung Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, selama 15 tahun sambil badan induk negara itu turut digantung sementara.

"Tindakan yang diambil Gastak untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM adalah berdasarkan senario terkini, di mana Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, digantung selama 15 tahun dan PSM sendiri digantung sementara sejak 28 April lalu.

"Gastak melihat situasi ini tidak berapa baik untuk pembangunan sepak takraw di Malaysia.

"Mahu tidak mahu, ia akan menyebabkan kelancaran, kebajikan, latihan, penyertaan dalam kejohanan atlet kita akan terganggu.

"Tindakan yang sama akan diambil persatuan negeri lain dalam masa seminggu ini. Esok mungkin akan ada persatuan lain yang senada dengan kami untuk mengumumkan perkara sama," katanya.