Gandingan baru hadapi saingan di Bangkok

Oleh Penulis Jemputan 6 Disember 2017 309
Gandingan baru hadapi saingan di Bangkok
Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abd Talib Ahmad, membuat kejutan apabila mengambil keputusan merehatkan perejam utama negara, Azlan Alias, sebaliknya mengharapkan gandingan baru untuk menjadi pencabar dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai di Bangkok, 11 Disember ini.
 
Seramai 12 pemain disenaraikan untuk membawa cabaran negara ke Bangkok.

Paling mengejutkan, tiada kelibat Azlan dan Khairol Zaman Hamid Akhbar dalam kem Malaysia untuk mengisi posisi perejam.

Turut keciciran daripada skuad kali ini ialah perejam terbaik Liga Sepak Takraw (STL) 2017, Fadzil Mustafa, daripada pasukan Perak Bison.

Sebaliknya, Abd Talib mengharapkan sentuhan perejam seperti Kamal Ishak, Hafizi Abd Razak, Afifudin Razali dan Hanafiah Dollah.

"Kami memilih pemain berdasarkan prestasi semasa bagi menghadapi saingan di Bangkok nanti. Sasaran utama kami adalah mempamerkan persembahan cemerlang dalam Sukan Asia 2018," katanya.

Abd Talib juga tampil menyenaraikan semula tekong, Zulkifli Abd Razak, yang kali terakhir mewakili negara pada 2013.

Ia susulan Zulkifli beraksi cemerlang sepanjang musim ini dalam saingan STL bersama pasukan Terengganu Turtles.

"Saya gembira kerana kembali beraksi bersama skuad negara tetapi ia adalah satu tanggungjawab yang besar dan berharap untuk memberikan yang terbaik," kata Zulkifli.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen