Enam atlet dan tiga pegawai skuad sepak takraw negara digantung buat sementara waktu selepas gagal menjalani ujian doping ketika menyertai Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu.

Perkara itu telah dimaklumkan secara rasmi oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarangbangsa (ISTAF) kepada Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas).

Dalam satu kenyataan media, Adamas berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada kesemua pemain dan pegawai terlibat mengenai kesalahan dan juga penggantungan sementara tersebut.

Selain itu, kesemua mereka turut diberikan masa sehingga dua minggu bermula kelmarin untuk memberi maklum balas kepada ISTAF.

Perbuatan mengelak daripada melakukan ujian, enggan atau gagal menjalani ujian doping tanpa alasan yang munasabah adalah satu kesalahan di bawah artikel 2.3 Kod Agensi Anti Doping Dunia (WADA).