Kedah Eagles jelas memanfaatkan kecergasan regunya untuk menumpaskan Melaka Titans 14-21, 21-15, 21-14 sekali gus memintas seketika Penang Panthers di tangga kedua carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016.

Dua mata di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor ini turut membuktikan momentum kejayaan terus menyebelahi regu bimbingan Shamshul Samsudin manakala Titans seperti hilang punca sekalipun menampilkan tekong negara, Sahidan Md. Ali.

Dalam satu lagi perlawanan, Johor Tigris pula mempamerkan kebangkitan dalam set penentuan untuk menghampakan Kelantan Warriors 21-16, 17-21, 21-19 sekali gus mencapai kemenangan ketiganya dan kekal di tangga keempat carta.

Warriors dihukum atas kesilapan mereka sendiri biarpun satu ketika mendahului Tigris empat mata ketika Tigris seperti tertekan dan hilang tumpuan sebelum menyambar peluang 'pemberian' lawan itu.

Tekong utama Warriors, Mohd. Hisyam Mat tampak baru mendapat rentak servisnya berbanding dua aksi lalu apabila jurulatih menukarnya dengan Khairul Hisham Yusoff sehingga mereka menyamakan kedudukan set kedua.

Eagles kini mengumpul lapan mata selepas perlawanan keenamnya ini untuk menjarakkan diri dengan Panthers yang baru bermain empat kali dan mengumpul enam mata namun pujian berhak buat mereka atas semangat pantang menyerah.

Hanya tekong Eagles, Nazirul Akram Rozali yang masih hambar dengan prestasinya sehingga terpaksa digantikan Asrah Adenan dalam set pertama manakala Titans turut membawa masuk apit kanan ketiga, Shelpul Saad dan mengembalikan apit kiri, Zarlizan Zakaria.

Kata pengurus Eagles, Syed Husain Syed Abu Bakar, "Kami bersyukur dengan kemenangan malam ini. Kami masih cuba beri peluang kepada Nazirul walaupun hari ini dia terpaksa digantikan Asrah.

"Apabila lawan membuat dua pertukaran termasuk melibatkan Sahidan (digantikan Khobil Sapair), kami seperti mendapat semangat dan keyakinan baharu untuk bangkit dan menang."

Pengurus Titans, Ghazali Bidin berkata, "Kami mengalami banyak masalah minggu ini dalam menyediakan pemain antaranya perejam utama, Amirul Asyraf Idris yang diserang demam dan tidak dapat beraksi.

"Bukan kami sengaja mencipta alasan tetapi itulah keadaan yang berlaku dan menimpa kami. Saya sendiri hairan mengapa regu Titans malam ini semakin hilang punca dalam set kedua dan akhir sedangkan mereka mampu menang set pertama."