Kedah Eagles mempamerkan kebangkitan mendadak dengan kehadiran tekong dan perejam gantian, Asrah Adenan dan Shahrol Nizam Romli, untuk menewaskan Kelantan Warriors 12-21, 21-18, 21-14, sekaligus memperbaiki kedudukan matanya dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2016, semalam.

Mengambil masa lebih sejam, regu dari utara ini pada mulanya menggandingkan Nazirul Akram Razali dan Fadzil Baharuddin dengan pengumpan tetap, Zuleffendi Sumari, di Stadium MPSJ, Serdang Jaya manakala Warriors menampilkan Hisyam Mat, Aiman Fouzi dan Aidil Aiman Azwawi.

Dua mata itu melonjakkan Eagles ke tangga keempat liga sementara Warriors semakin tertekan dengan kekalahan berturut-turut sejak kecundang kepada Kuala Lumpur Thunder, minggu lalu.

Shahrol yang sebelum berehat, tercedera buku lali sehingga terlepas tiga perlawanan awal, tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh, terutama ketika merejam manakala servis tekong utama lawan, Hisyam atau Pokse, didapati kurang berkesan dan hambar.

Set pertama jelas milik Kelantan dengan sentiasa di depan, 12-8, 18-11 dan 19-12, namun lawan nekad membuat pertukaran pemain dalam set berikutnya menerusi kemasukan Asrah dan Shahrol sehingga sentiasa mengekori rapat dan mengikat kedudukan 11-11, 12-12 dan 13-13 serta 19-19 sebelum merampas teraju, 19-17.

Set ketiga menyaksikan Warriors ditinggalkan 0-5, 3-7, 5-10, 9-13 dan 11-18, malah pertukaran tekongnya, Ikhwan Rahman, masih gagal mengubah nasib regu bimbingan Rozi Rahman ini yang pada minggu pertama mengejutkan juara bertahan, ATM Guardians.

Kata pengurus pasukan Eagles, Syed Husain Syed Abu Bakar, “Titik tolak perlawanan ini ialah pada peranan yang dimainkan apit kiri kedua-dua pasukan. Zuleffendi atau Pak Long dan Aidil ialah pemain kebangsaan dan kematangan masing-masing mencorakkan serangan dan mempengaruhi keputusan.

“Saya tidak menafikan prestasi Shahrol turut bagus dan tidak keterlaluan untuk meramalkan dia sedikit masa lagi mampu setanding Zabidi Shariff, bekas pemain negara yang terkenal dengan rejaman gulungnya,” katanya.