Kuala Lumpur Thunder mempunyai sebab yang lebih kuat selain mahu mengejutkan pendahulu Liga Sepak Takraw (STL) 2016, Terengganu Turtles, dalam saingan minggu ketiga di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, Sabtu ini.

Selepas menewaskan Kelantan Warriors minggu lalu, dua lagi mata liga pasti ditagih skuad Azhar Sarabini ini, namun yang istimewanya ialah kemenangan kali ini bakal berupa hadiah perpisahan terbaik buat apit kiri utamanya, Syafiq Ab. Rahman.

Pemain kelahiran Melaka berusia 28 tahun ini akan mula melapor diri sebagai anggota polis di Langkawi minggu depan, sekali gus terpaksa melupakan STL musim ini lebih awal walaupun saingannya hanya akan berakhir 19 Disember ini.

“Tanpa Syafiq, kami perlu mencari pengganti dan beberapa nama pengumpan baharu sedang dipertimbangkan, termasuk Azmi Kadir atau lebih dikenali sebagai Macha,” kata Azhar menjelang ‘pertemuan buku ruas’ dengan Turtles bimbingan Vitthaya Boontha dari Thailand.

Thunder masih memiliki seorang lagi pengumpan muda berbakat besar, Amirul Zazwan Amir atau Ayong yang akan turut menyertai skuad negara ke Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-31 di Bangkok dari Isnin ini hingga 23 Oktober ini.

Mengenai Turtles, Azhar berkata: “Kami kini mengesan kekuatan dan kelemahan kedua-dua tekong kidal lawan, Izurin Refin dan Irsyad Faiz Aziz, berdasarkan tiga perlawanan mereka yang lalu dan akan cuba memanfaatkannya untuk mencari kemenangan kedua.

“Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi masih menjadi tekong utama kami, begitu juga Zamree Dahan selaku apit kanan dan Syafiq dalam penampilan terakhirnya dalam STL bersama KL Thunder,” katanya.

Juara bertahan, ATM Guardians, menurut pengurus pasukannya, Mejar Mohd. Shazali Abd. Halim, mungkin cuba memasukkan seorang tekong dan seorang perejam baharu dalam memburu kemenangan sulung.

Menyedari tekanan kian memuncak dan kemarau mata masih membelenggu, khidmat Hairee Haidzir dan Asrie Isa, katanya, mungkin diperlukan apatah lagi berdepan dua lawan yang lebih getir, Turtles, esok dan Penang Panthers (penghuni tempat kedua liga), Sabtu ini.

“Mungkin kena cuba orang lain, mana tahu nasib kami akan berubah,” katanya walaupun tidak mengesahkan kedua-dua posisi yang kini dipegang Nazmi Najib dan Afifuddin Razali atau Khairudin Adenan bakal bertukar pemiliknya,” katanya.

JADUAL MINGGU 3

Esok: Kelantan Warriors lawan Kedah Eagles (8 malam), Terengganu Turtles lawan ATM Guardians (9.30 malam)

Sabtu: Terengganu Turtles lawan Kuala Lumpur Thunder (4 petang), ATM Guardians lawan Penang Panthers (5.30 petang)

Ahad: Melaka Titans lawan Kelantan Warriors (4 petang), Johor Tigris lawan Kedah Eagles (5.30 petang)

Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.