‘Dream team’ untuk Kejohanan Sekolah ASEAN

Oleh Farizal Yusoff 15 Oktober 2017 388
 ‘Dream team’ untuk Kejohanan Sekolah ASEAN
Penyelaras Liga Sepak Takraw Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Hezreen Senin, berpuas hati dengan prestasi semua pemain yang menyertai Kejohanan Sepak Takraw 1 Murid 1 Sukan (1M 1S) B-16 KPM di Gelanggang Sepak Takraw, Pusat Sukan MSSK, Kota Bharu yang berakhir semalam. 

“Alhamdulillah, nampaknya semua pemain telah memberikan aksi yang terbaik dalam pusingan kedua di Kota Bharu. Mereka (pemain) menunjukkan semangat juang yang tinggi dan berusaha untuk mengalahkan satu sama lain.

“Bagi pihak KPM, kami berpuas hati dengan persiapan yang telah ditunjukkan oleh semua Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang telah mengambil bahagian,” katanya.

Ditanya mengenai matlamat akhir penganjuran Kejohanan B-16 ini, Hezreen menyifatkan ia sebagai langkah awal memilih pemain berkualiti yang akan dihimpunkan bagi mewakili Malaysia ke Kejohanan Sepak Takraw Sekolah  ASEAN (ASG), tahun depan.

“Kami bercadang untuk mewujudkan ‘dream team’ (skuad impian) sepak takraw yang pemainnya dipilih melalui kejohanan ini dan juga Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Mac tahun depan, sebagai persediaan terbaik ke Kejohanan ASG,” katanya.

Hezreen juga mengucapkan tahniah kepada tuan rumah, SSN Kelantan, yang berjaya memikul tugas yang diamanahkan dan berharap pusingan terakhir yang diadakan di Johor juga berjalan lancar.

“Tahniah SSN dan Unit Sukan Kelantan yang berjaya menganjurkan kejohanan ini tanpa ada sebarang masalah yang berlaku. 

"Kami harap sirkit terakhir (grand final) yang bakal dilangsungkan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Kota Tinggi, Johor pada 9 hingga 11 November nanti juga berjalan lancar,” katanya. 
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen