Disiplin, kekuatan mental skuad takraw negara sudah meningkat

Oleh Penulis Jemputan 6 April 2018 386
Disiplin, kekuatan mental skuad takraw negara sudah meningkat
Selepas menjalani latihan ala ketenteraan di Jugra, Banting sejak Januari lalu, barisan kejurulatihan negara mengakui ia memberi impak positif daripada sudut disiplin, malah kekuatan mental pemain juga meningkat.

Mereka juga tiada kompromi dengan sebarang pemain yang tidak dapat memberi komitmen dengan skuad kebangsaan, dengan mengugurkan beberapa tonggak kebangsaan seperti Wan Muhammad Anas Muhaimi Wan Mohd Asri dan Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin yang membantu Malaysia ketika Sukan SEA lalu.

Kini, skuad kebangsaan mempunyai 24 pelatih dan tapisan yang ketat akan dilaksanakan bagi memilih hanya yang terbaik untuk ke Sukan Asia Indonesia, Ogos nanti.

"Dalam pertingkat awal, iaitu fasa pertama, kami memang mempunyai kuota seramai 30 pemain.

"Tetapi dalam bulan ini, kami memiliki 24 pemain sebelum kami membuat tapisan buat kali terakhir untuk ke Sukan Asia," kata penolong jurulatih sepak takraw negara, Rashidi Nordin.

Selain itu, corak latihan yang lebih berat diterapkan kepada semua pemain, antara perubahan yang ketara adalah tempoh sesi latihan yang lebih panjang.

Rashidi berkata setiap hari pemain akan melalui empat sesi latihan bermula dari jam  7 pagi dan berlarutan sehingga 10 malam.

"Sesi siang kami fokus kepada fizikal dan latihan dalam gelanggang. Pada sebelah malam, kami lebih kepada analisis perlawanan dan perbincangan untuk mengkaji kelemahan pasukan kami.

"Selain itu, kami juga mengkaji kekuatan pasukan lawan," katanya lagi.

Salah seorang pemain negra, Farhan Adam, mengulas: "Memang kami perlu berkorban. Satu, sebab kami mahu menaikkan semula sepak takraw.

"Kedua, kami mahu merealisasikan matlamat dan berjuang habis-habisan dalam Sukan Asia nanti," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen