Covid-19: ISTAF gesa jurulatih, pengadil terus 'sibuk'

Oleh Bernama 10 April 2020 57
 Covid-19: ISTAF gesa jurulatih, pengadil terus 'sibuk'
Bukan sahaja atlet di seluruh dunia terpaksa menjalani latihan di rumah dan di atas talian untuk mengekalkan kecergasan, jurulatih dan pengadil sukan sepak takraw juga tidak ketinggalan berpeluang meningkatkan kemahiran mereka ketika dunia dilanda krisis koronavirus baru (Covid-19). 

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mahu negara anggota menganjurkan dua tahap kursus kejurulatihan secara di talian bermula bulan depan bagi memastikan jurulatih juga ‘sibuk’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak ini kerana kemungkinan acara sukan akan kembali dalam masa terdekat masih samar.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, berkata kursus kejurulatihan di atas talian untuk tahap permulaan dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan ISTAF Tahap 1 akan disahkan oleh badan serantau dan dunia apabila semua kriteria dipenuhi.

“Kami mahu jurulatih mengambil peluang untuk meningkatkan diri masing-masing dalam masa sukar ini. Surat telah diedarkan kepada semua ahli gabungan. 

"Untuk yang pertama kali, iaitu mereka yang mahu menjadi jurulatih, klinik dan bengkel kejurulatihan di atas talian dijalankan selama empat jam sehari untuk tempoh dua minggu.

“Untuk kursus kejurulatihan ASTAF dan ISTAF Tahap 1, setiap persekutuan diperuntukkan lima slot.

"Tetapi mereka perlu memilih jurulatih yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun di peringkat kebangsaan,” katanya kepada Bernama.

Ppresiden ASTAF itu juga berkata selain daripada kursus kejurulatihan, badan sepak takraw Asia berkenaan juga mempertimbangkan untuk menganjurkan kursus latihan peringkat ASTAF dan ISTAF kepada pengadil bagi meningkatkan kemampuan.

Selasa lalu, ISTAF mengarahkan semua negara anggota supaya berhenti menganjurkan semua aktiviti sepak takraw termasuk kejohanan sama ada diiktiraf badan itu atau tidak sepanjang tempoh penularan pandemik itu yang melanda dunia ketika ini.

-- BERNAMA

 

"Covid-19", "sepak takraw", "ISTAF", "ASTAF"

Tentang Penulis

Bernama

Komen