Penang Black Panthers mungkin mempunyai kelebihan dan pengalaman bagaimana untuk menyambar kesempatan ‘pemberian’ lawan setelah menggilirkan semua pemain mereka yang didaftarkan bagi Liga Sepak Takraw (STL) 2016.

Tekong, Syahir Rosdi dan Mohamad Fazil Asri, masing-masing sudah menikmati suasana perlawanan, perejam Azlan Alias, Kamal Ishak dan Danial Baharin, malah kedua-dua pengumpan, Suhairi Sulaiman dan Zaim Razali, sempat beraksi bagi perlawanan tertentu.

“Satu pertaruhan yang berisiko apabila kita terlalu lama simpan pemain. Akan jadi pemain yang menggantikan itu baru hendak tercari-cari rentak sedangkan permainan sudah masuk peringkat genting dan set lain.

“Kami berjaya mengambil kesempatan itu untuk memenangi set kedua (menentang pendahulu STL, Terengganu Turtles, 21-14, Jumaat lalu),” kata Mohd. Helmi Ismail yang membimbing Panthers mengekori di tempat kedua dengan perbezaan enam mata, 10 berbalas 16.

Katanya, peraturan pertandingan yang kini memansuhkan sesi pemanas badan dengan tiga percubaan servis dan tiga rejaman sejak minggu keempat STL turut mempengaruhi persediaan dan kemantapan setiap pasukan.

“Sekarang sudah tiada sesi percubaan atau pemanas badan lagi. Itu yang menimbulkan sedikit kesan kepada pasukan, apatah lagi kalau bagi pemain simpanan yang sudah lama tidak bermain,” kata bekas apit kanan pemenang satu perak, satu gangsa Sukan Asia 2010 dan 2014 ini.

Perejam Turtles, Fadzli Roslan, yang tercedera pinggang akibat terhentak ke gelanggang selepas gagal merejam di depan jaring, terpaksa digantikan Kamal Alfiza Shafie yang belum pernah beraksi sejak tirai aksi STL disingkap 30 September lalu.

Sebelum STL, Terengganu juga kehilangan perejam negara, Mohd. Hanafiah Dolah, kerana kecederaan, malah tidak pernah menggantikan apit kirinya, Azwan Muhrim sebelum terpaksa melepaskan seorang lagi pemain posisi itu, Safarudin Abu Bakar, menyertai PSM A dalam Divisyen Satu.

Kata Helmi, Panthers hanya kurang bernasib baik ketika memburu mata penting penghujung set penentuan yang pantas disambar Turtles untuk mencapai kemenangan ketujuhnya bagi menamatkan pusingan pertama Divisyen Perdana STL yang disaksikan hampir 2,000 hadirin Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.

“Suasana perlawanan itu memang berbeza dengan penonton yang kali pertama hadir begitu ramai. Gementar pasti datang kepada pemain, terutama yang baru masuk bermain,” katanya yang mengakui telah matang dengan pengajaran itu bagi melayari cabaran pusingan kedua STL.

Jadual Divisyen Perdana STL

Jumaat (8 - 9.30 malam): Melaka Titans lawan ATM Guardians, Kelantan Warriors lawan Penang Panthers
Sabtu (4 - 5.30 petang): Kuala Lumpur Thunder lawan Kedah Eagles, Terengganu Turtles lawan Johor Tigris
Ahad (4 - 5.30 petang): Johor Tigris lawan ATM Guardians, Kedah Eagles lawan Penang Panthers

Jadual Divisyen Satu STL

Jumaat (3 – 6 petang): Perlis lawan Sarawak, Selangor lawan Labuan, Pahang lawan Negeri Sembilan The Jangs, PDRM lawan Perak The Bos Gaurus
Sabtu (10 pagi – 1 petang): PSM A lawan Sabah, PSM B lawan Putrajaya, Perak The Bos Gaurus lawan Pahang, Negeri Sembilan The Jangs lawan PDRM
Ahad (10 pagi – 1 petang): Putrajaya lawan PSM A, Sabah lawan PSM B, Sarawak lawan Selangor, Labuan lawan Perlis