Azlan bakal ubah angin

Oleh Nafis Abdullah 3 Mei 2020 6893
Azlan bakal ubah angin
Pemain apit kanan skuad sepak takraw negara, Azlan Alias, mengakui bakal meninggalkan Penang Black Panthers bagi saingan Liga Sepak takraw (STL) 2020 sekali gus menamatkan tempoh empat musim bersama skuad gergasi itu.

Selepas empat musim berbakti bersama Black Panthers serta menjadi tonggak penting sewaktu meraih kejuaraan hatrik Liga Premier bagi musim 2017 hingga 2019 serta dua trofi Piala Champions, Azlan akhirnya memilih untuk berubah angin.

"Kemungkinan saya akan ke pasukan negeri lain tetapi buat masa sekarang, saya tidak pasti. Namun, mungkin saya akan berubah angin," katanya.

Mengakui tiada sebarang masalah yang membuatkannya ingin meninggalkan Black Panthers, Azlan menegaskan ia lebih kepada sentimen ingin mendapatkan cabaran berbeza.

"Jika tiada masalah, saya akan menyertai KL Thunder. Buat masa sekarang memang ada perbincangan dan saya sudah nyatakan hasrat untuk menyertai Kuala Lumpur."

Dalam masa sama, rakan sepasukannya di Pulau Pinang, Syahir Rosdi, turut dilaporkan bakal mengikut jejak langkah ke Kuala Lumpur dan Azlan jelas gembira seandainya perpindahan itu dapat direalisasikan.

"Mengenai Syahir, memang betul. Saya dan dia memang akan menyertai KL Thunder tetapi ia bergantung kepada Syahir sendiri."

"Jika perpindahan ini terjadi, ia akan memberikan kelebihan buat KL Thunder. Semua tahu bahawa Azlan dan Syahir merupakan antara aset terbaik skuad negara," tambah jurulatih KL Thunder, Azhar Haji Sarabini.

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen