Pelepasan terhadap enam pemain negara untuk menyertai Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) satu petanda positif dan Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar, berkata mereka memiliki peluang cerah untuk terlepas daripada sebarang penggantungan.

Keputusan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) membenarkan enam pemain itu menyertai STL membuka lembaran baru.

Ia dilihat sebagai kejayaan awal terhadap kerjasama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selepas ISTAF mengumumkan penggantungan sementara terhadap pemain dan tiga pegawai rasmi badan induk itu.

Pada kebiasaannya, mereka yang digantung tidak boleh menyertai sebarang aktiviti sepak takraw sehingga siasatan selesai.

"Jika semuanya berjalan dengan lancar, mungkin atlet tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

"Jalan terbaik ialah terus berkomunikasi dengan ISTAF. Jika ISTAF mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan mereka beraksi, mereka perlu mematuhinya.

"Tetapi mereka boleh membuat rayuan dan jika ISTAF mengeluarkan surat kebenaran untuk mereka beraksi dalam STL, mereka boleh beraksi.

"Jika tidak mendapat apa-apa surat kebenaran, atlet tidak dibenarkan untuk bermain," jelas Nishel.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ISTAF memutuskan semua enam pemain negara boleh menyertai STL dan kejohanan dalam negara.

Sebelum ini, skuad sepak takraw negara dituduh enggan menjalani ujian doping ketika Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu.