'Ahmad Ismail digantung 15 tahun', itulah keputusan yang dicapai dalam sesi pendengaran kes melibatkan presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, selepas panel disiplin Persatuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) yang bersidang mendapati yang tertuduh bersalah.

Selain digantung 15 tahun, Ahmad Ismail juga perlu membayar ASD25,000 sebagai kos perbicaraan dan sesi pendengaran kes beliau.

Jika gagal membayar denda, hukuman gantung ditambah selama dua tahun lagi.

Sesi pendengaran kes Ahmad Ismail berlangsung 5 Mei menerusi atas talian yang dipengerusikan Prof Dr Chalerm Chaiwatcharaporn, selaku timbalan presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Selepas berpuashati pertuduhan yang dibacakan serta disokong dengan keterangan tiga saksi utama kes berkenaan panel bersetuju untuk menjatuhkan hukuman kepada Ahmad Ismail berdasarkan empat pertuduhan.

Kesemua pertuduhan tersebut berkaitan dengan surat yang diutus Ahmad Ismail kepada Jawatankuasa Olimpik Asia dan juga Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa 24 Februari lalu.

Kesalahan pertama yang melanggar kod tatatertib astaf dibawah artikel 2d dalam kurungan 8, Ahmad digantung lima tahun.

Manakala bagi kesalahan di bawah artikel 5.3 Ahmad turut digantung lima tahun.

Bagi kesalahan ketiga yang melanggar artikel 5.5, Ahmad dijatuhi hukuman gantung lima tahun.

Manakala kesalahan keempat, iaitu mengingkari dan mencemar nama baik ASTAF ketika masih lagi menjawat jawatan sebagai timbalan presiden ASTAF dan presiden PSM, Ahmad digantung 10 tahun daripada terbabit dengan sebarang aktiviti sepaktakraw.

"Keputusan sebentar tadi adalah mengenai Ahmad Ismail. Beliau digantung selama 15 tahun dan tidak boleh terlibat dalam mana-mana sebarang aktiviti sepak takraw di pentas tempatan dan antarabangsa. Lantas, Ahmad tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan."