Perak Bison meniti di landasan terakhir untuk mencipta sejarah jika berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam dua perlawanan terakhir minggu ketujuh dalam Liga Sepak Takraw (STL) yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ) Selangor.

Menurut ketua jurulatih Perak, Ismi Hissan Ismail, dua perlawanan terakhir bertemu Terengganu Turtles esok dan Kuala Lumpur Thunder, Ahad ini, menjadi penentu sama ada pasukannya kekal di tangga kedua keseluruhan atau dipintas oleh pasukan lain.

"Perak hanya mendahului dua mata daripada tujuh kemenangan. Andaikata mahu kekal di kedudukan kedua dan muncul naib juara STL di belakang Pulau Pinang, Perak kena kekalkan momentum.

"Bukan apa, jarak mata tidak banyak dipisahkan. Pastinya pasukan lain seperti Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur akan turun habis-habisan kerana mereka turut berpeluang," katanya.

Dinyatakan, Perak Bison sudah mencapai sasaran dengan berjaya kekal dalam Liga Perdana STL dalam penyertaan sulungnya tahun ini, namun bagi Ismi dan anak buahnya, "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan".

"Jika berjaya, ini adalah bonus bagi kami, pengurusan dan rakyat Perak," ujarnya.

Selain mencari kedudukan terbaik dalam liga, Perak Bison turut mengintai slot untuk beraksi dalam Piala Juara STL 2017 yang membabitkan tiga pasukan jemputan antarabangsa, iaitu Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.