Apit kiri berbakat Kelantan Warriors, Aidil Aiman Azwawi, menyifatkan gelaran pemain terbaik minggu pertama Liga Sepak Takraw (STL) menjadi pembakar semangat untuknya terus beraksi cemerlang menentang Kuala Lumpur Thunder di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, petang ini.

‘Alhamdulillah, anugerah ini menjadi motivasi terbaik kepada saya untuk terus mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan STL ini.

“Kami bermula dengan langkah kiri apabila kalah kepada Penang Black Panthers tetapi bangkit semula dengan mengalahkan ATM Guardians. Petang nanti, satu lagi perlawanan sukar tetapi kami yakin mampu memenanginya,” katanya.

Aidil, yang juga bekas pemain Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Kelantan, menyifatkan regu Kuala Lumpur Thunder cukup berpengalaman dan sukar untuk dikalahkan.

“Mereka (KL Thunder) dibarisi pemain yang hebat seperti Amirul Zazwan Amir, Zamree Dahan dan Hafiz Rahman.

“Mereka pastinya cuba bangkit mencari kemenangan pertama selepas kalah dalam dua perlawanan terdahulu,” katanya.

Ditanya mengenai kombinasi semakin mantap yang ditunjukkan rakan sepasukannya, Aidil menyifatkan masih ada ruang yang boleh dibaiki sebelum mampu mencabar regu pilihan dalam STL musim ini.

“Dalam perlawanan kedua menentang ATM Guardians, servis kencang Hisyam (Khairul Hisyam Md Yusoff) dan libasan menarik Naim (Wan Naim Izani) banyak membantu Kelantan Warriors mengutip mata dan pertahanan kami juga semakin baik,” katanya.