Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, mengesahkan akan mencabar Datuk Abdul Halim Kader bagi merebut jawatan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi penggal 2021-2025.

Beliau yang juga Timbalan Presiden ASTAF bagi sesi 2016-2021 berkata pada awalnya tidak berhasrat untuk bertanding kerana mahu memberi fokus kepada pembangunan sepak takraw negara dan memberi laluan kepada Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES), Mohd Nasri Haron.

Namun, atas pendirian mahu melihat perubahan pada pucuk pimpinan ASTAF, Ahmad atau mesra dengan panggilan Tok Mat memutuskan untuk menawarkan diri bertanding jawatan itu pada pemilihan 1 Mac ini.

“Bagi saya dan kita di PSM, tidak kira siapapun bertanding, yang penting kepimpinan harus diubah kalau hendak lihat sepak takraw maju dan betul-betul hidup di peringkat Asia. Setakat ini, saya menawarkan diri, tetapi sekiranya ramai dah mengenali dan beri sokongan kepada Nasri, saya sedia menarik diri,” katanya pada sidang media semalam.

Ahmad berkata selain beliau, Ahli Majlis ASTAF dan Setiausaha Agung PSM Datuk Abidullah Salleh bakal bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden dan Ahli Majlis PSM Yusoff Ali pula akan merebut jawatan Ahli Majlis ASTAF manakala Naib Presiden Datuk Mohd Sumali Reduan tidak mempertahankan jawatannya.

"Kami telah menghantar permohonan. Jika anda mahukan perubahan, ia harus dilaksanakannya," katanya lagi.