Harapan skuad Kelantan untuk menjalani latihan dengan lebih teratur bagi menghadapi Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Grand Prix (GP) 2017 menjadi kenyataan apabila Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) memilih Gelanggang Tertutup Sepak Takraw, Wakaf Baharu sebagai pusat latihan rasmi terbarunya.

Setiausaha GASTAK, Mohd Adnan Mat, berkata isu tempat latihan yang sering menjadi masalah dalam persiapan Kelantan dianggap selesai selepas satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani di antara presidennya, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, dan pemilik gelanggang, Tengku Mohd Sukri Tengku Ismail.

“Pertamanya, syukur kepada Allah apabila GASTAK melalui Radzuan berjaya menyelesaikan isu gelanggang latihan rasmi skuad Kelantan.

“Kami berharap pemain dapat memberi sepenuh perhatian terhadap latihan pusat yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Mohd Rozi Abdul Rahman, sambil dibantu Baharil Anuar Che Mamat dan Rukhman Mustapha untuk menghadapi dua kejohanan penting, iaitu sirkit kedua Kejohanan Kebangsaan dan Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2017,” katanya.

Ditanya mengenai latihan dan sasaran utama Kelantan dalam sirkit kedua, Adnan menyifatkan semuanya berjalan lancar dan Kelantan berazam untuk ke separuh akhir.

“Seramai 13 pemain sedang giat menjalani latihan dan kami sasarkan untuk mara ke peringkat separuh akhir bagi sirkit kedua yang akan bermula esok,” katanya.

Untuk rekod, Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan GP 2017 sirkit kedua diadakan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat AU2, Kuala Lumpur, dari 8 hingga 10 September ini.