Bekas tekong skuad negara, Zulkifli Abdul Razak, kembali menjadi tumpuan selepas menamatkan tempoh penggantungannya Mac lalu apabila dia mengambil keputusan beralih ke pasukan Kelantan Warriors bagi menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL) walaupun masih terikat dengan Terengganu Turtles.

Gerakan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) berjaya mendapatkan dua tekong untuk memperkuatkan Kelantan Warriors untuk saingan dijangka bermula September ini.

Salah seorang daripadanya ialah Zulkifli selaku pemenang pingat emas Sukan Asia 2018.

Zulkifli yang lebih mesra dengan panggilan "Sobey" mengesahkan bahawa dia telah bersetuju untuk menyertai Kelantan Warriors.

"Setakat ini, semuanya masih dalam rundingan dan segalanya bergantung kepada pihak majikan untuk membenarkan saya beraksi bersama Kelantan Warriors atau sebaliknya," kata Zulkifli.



Sementara itu, jurulatih Terengganu Turtles, Mohd Futra Abd Ghani, jelas terkejut dengan penularan perpindahan Sobey yang diharapkan menjadi tonggak Turtles bagi saingan STL tahun ini.

Kini Futra hanya mengharapkan Sobey mampu menyelesaikan kemelut yang direkanya sendiri secepat mungkin supaya mampu mencorak persediaan terbaik Terengganu Turtles.

"Buat masa ini, kami masih mendaftar nama Sobey dalam skuad Terengganu. Selepas mendapat pengetahuan apabila Kelantan turut mendaftar nama pemain itu, kami perlu berbincang mengenai perkara ini supaya ia dapat diselesaikan," jelas Futra.