Terengganu Turtles tagih khidmat Fazli Roslan

Oleh Ammar Hakim 26 Julai 2020 4585
Terengganu Turtles tagih khidmat Fazli Roslan
'Aku yang dulu bukanlah yang sekarang', itu kisah pasukan Terengganu Turtles yang boleh dianggap antara pasukan tersohor dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) bagaimanapun tidak kekal dan akhirnya jatuh ke divisyen 1.

Kini Terengganu Turtles mengharapkan kelibat Fazli Roslan untuk bersama pasukan itu bagi saingan STL 2020 sekali gus mengembalikan maruah skuad 'peteh ganu peteh'.

Bagaimanapun, Fazli yang beraksi sebagai perejam telah gantung kasut lebih kurang setahun daripada saingan kompetitif sepak takraw.

"Sudah tentu kami memerlukan pemain seperti Fazli kerana pengalaman, komitmen, dan aura ketika berada di atas gelanggang memberikan kelebihan dalam pasukan ketika bersaing," kata ketua jurulatih Terengganu Turtles, Futra Abdul Ghani.

"Saya berasakan penting buat Fazli kembali ke dalam pasukan untuk memastikan pasukan kembali ke landasan terbaik."

Betapa terdesaknya Terengganu memerlukan khidmat Fazli untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

Bagaimanapun keputusan Fazli masih belum diketahui dan dia hanya akan memberi jawapan dalam minggu ini.

Punca keraguan Fazli untuk kembali beraksi adalah disebabkan dia sudah lama tidak beraksi secara kompetetif hampir kurang setahun.

"Saya telah lama tidak bertanding disebabkan pasukan naik sebelum ini. Buat masa ini, saya masih lagi berfikir-fikir untuk kembali bersama pasukan kerana ia memerlukan masa untuk saya mendapatkan sentuhan terbaik," katanya.

Mengenai hubungannya bersama tekong Terengganu, Zulkifli Abd Razak, Fazli menjelaskan, "Saya tidak memiliki masalah dengan Sobey, sebab saya telah bergandingan bersama Sobey sehinggalah kali terakhir saya membuat penampilan dalam saingan STL." 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen