Terengganu Turtles mahu tukar pemain import

Oleh Tengku Danish Bahri 10 Mei 2020 1746
Terengganu Turtles mahu tukar pemain import
Pasukan Divisyen Satu, Terengganu Turtles, merancang untuk mendapatkan tonggak import baru bagi menghadapi saingan musim baru Liga Sepak Takraw (STL), Ogos ini.

Jurulatihnya, Mohd Futra Abdul Ghani, berkata pemain Thailand antara yang diperhatikannya untuk menggantikan Naringsak Jittisak dan Phutawan Sopa yang dilepaskan.

Begitupun Futra menjelaskan pihak persatuan masih menilai keperluan 'membeli' pemain import bergantung kepada faktor kos serta status penganjuran STL kelak.

"Di peringkat jurulatih memang kami rancang nak dapatkan pemain import baru tapi belum ada kata putus daripada pihak pengurusan.

"Begitu juga jika ada pemain Malaysia bertaraf Sukan Sea yang mahu sertai Turtles, saya persilakan kerana STL menetapkan cuma seorang pemain negara dalam satu pasukan.

"Dalam masa sama barisan pemain muda Turtles majoritinya masih dikekalkan dan akan menjadi tunjang pasukan bagi musim baru ini," ujarnya.

Mengulas lanjut cabaran dalam Divisyen 1, bekas perejam emas negara itu yakin skuad kendaliannya semakin matang selepas tersingkir daripada saingan Premier.

Prestasi pemain muda Turtles menurutnya tidak jauh ketinggalan dengan pemain senior dan itu memberi keyakinan kepada Futra akan kemampuan mereka.

"Saya berhajat di musim baru nanti kami segera mendapat rentak dalam liga dan mendahului dari awal.

"Malangnya (Covid-19) merencatkan persiapan kami tapi saya tetap perlu menyediakan pasukan dalam apa jua keadaan," tambah Futra.

Kredit foto: Liga Sepak Takraw (STL)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen