Kehangatan saingan Liga Sepak Takraw (STL) kian terasa dan pelbagai persiapan telah dilakukan oleh semua pasukan terlibat, edisi kali ini menyaksikan kehadiran Syahir Rosdi dan Azlan Alias bersama pasukan Kuala Lumpur Thunders menjadikan pasukan itu cukup digeruni.

Ketua jurulatih KL Thunders, Azhar Sarabini, berpandangan saingan STL kali ini akan menjadi medan terbaik untuk semua pasukan memberikan aksi terhebat.

KL Thunders berjaya mendapatkan khidmat dua pemain kebangsaan iaitu Syahir (tekong) dan apit kanan, Azlan Alias, daripada Penang Black Panthers bagi memantapkan pasukan itu mengharungi musim 2020.

Namun Azhar mengakui kehadiran dua tonggak itu masih belum dapat menjamin kejuaraan, justeru tidak mahu KL Thunders mendabik dada.

Ini berlandaskan kepada hakikat bahawa Syahir sudah lama tidak turun ke gelanggang selepas terpaksa menjalani penggantungan sembilan bulan sekaligus menjadikan prestasinya dalam teka-teki.

"Saya masih lagi menaruh harapan prestasi barisan pemain terdahulu. Strategi yang bakal digunakan K Thunder dalam saingan musim baru masih belum dapat dimaklumkan lagi buat masa ini," kata Azhar.

"Mengenai peluang pasukan, saya berasakan semua pasukan memiliki peluang tetapi saya berpandangan pasukan kini lebih matang."

Dengan KL Thunders kini dilihat sebagai pasukan pilihan musim ini, Azhar masih mengharapkan undian yang lebih baik.

Ini selepas KL Thunders berdepan dengan undian yang sukar musim lalu bertemu dengan pasukan pilihan.

Sementara itu, pemenang Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) 2019, Johor Tigris sudah mula menjalani latihan lebih awal untuk persediaan STL yang akan berlangsung bulan depan.

Menurut tekong, Farid Aziz, Tempoh latihan yang singkat memaksa mereka untuk melakukan latihan sendiri bagi pastikan prestasi mereka tidak merosot.

"Menjelang saingan musim depan, kami telah menjalani latihan sejak tiga minggu yang lalu. Beberapa pemain yang masih belum dapat bersama pasukan menjalani latihan secara individu ketika ini," kata Farid.