STL: Tigris jangka saingan lebih sukar

Oleh Penulis Jemputan 22 Julai 2020 1467
STL: Tigris jangka saingan lebih sukar
Johor Tigris antara pasukan yang mencuri tumpuan dalam Liga Sepak Takraw (STL) musim lalu.

Dengan dilbarisi pemain seperti Muqlis Burhan, Aizat Nordin dan Farid Aziz, juara Piala Juara-Juara STL itu mahu memperbaiki pencapaian mereka musim ini selepas mendapat tempat ketiga saingan liga musim lalu di belakang ATM Guardians dan juara, Perak Bison.

Bagi tekong, Farid, saingan musim ini dilihat akan menyediakan cabaran yang berbeza berbanding musim lalu.

"Pasukan Johor Tigris sudah memulakan latihan sejak tiga hari lalu.

"Terdapat beberapa perubahan daripada segi pemain di dalam pasukan dan sudah pasti, kami akan membuat yang lebih baik daripada musim lalu," katanya.



Kuala Lumpur Thunder, yang dilaporkan akan diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain bintang, iaitu Syahir Rosdi (tekong) dan Azlan Alias (apit kanan), dilihat sebagai pencabar utama STL musim ini tetapi Farid berasakan pasukan lain juga mampu menghadirkan kejutan.

"Bukan hanya KL  Thunder tetapi pasukan lain juga.

"Cuma, kami perlu lebih berhati-hati dengan KL Thunder.

"Dengan itu, saya akan terus berlatih untuk menambah baik daripada segi servis dan kawalan gelanggang," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen