Ketiadaan pemain tonggak menjadi punca Terengganu Turtles sekadar menamatkan Liga Sepak Takraw (STL) di tangga kesembilan, sekali gus jatuh ke Divisyen Satu tahun depan.

Perkara itu diakui jurulatihnya, Mohd Futra Abdul Ghani, yang menegaskan Turtles dijejaskan penarikan diri apit kanan, Fazli Roslan dan Safaruddin Abu Bakar, pada minggu kedua.

Keadaan itu memaksa Turtles menurunkan pemain muda yang majoritinya dibarisi skuad Sukan Malaysia (Sukma) dan gagal mencipta keputusan memuaskan.

Menurut Futra yang juga bekas 'perejam emas' negara, percaturan memasukkan pemain import, Narongsak Jittisak dan Phutawan Sopa, turut tidak membuahkan hasil.

"Sudah tentu kami mahu kekal dalam saingan Premier, malangnya saya tidak dapat menurunkan pasukan terkuat.

"Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak membenarkan penggantian pemain kecuali sakit atau kecederaan teruk.

"Turtles terpaksa mengharungi STL dengan barisan muda sehingga dikecam peminat yang tidak tahu apa yang berlaku," jelasnya.

Futra juga berkata Turtles akan membuat persiapan awal menghadapi saingan Divisyen Satu sambil tidak menolak tetap akan mempertaruhkan pemain muda.

Antara yang diberi peluang tahun ini adalah pemain berusia 17 tahun, Amar Roslan, dan Afif Jazimin Zainal Abidin, 16.

"Kami dah kaji dan lihat faktor pengalaman turut memainkan peranan besar dalam STL.

"Pemain muda yang betul-betul layak saja akan beraksi selain gabungan tonggak senior serta pemain import, jika dibenarkan PSM," tambahnya.

Kredit foto: Liga Sepak Takraw (STL)